IPOH – Pertemuan dihadiri 19 Datuk Bandar dari Kepulauan Sulu di selatan Filipina bukan bagi tujuan merancang untuk melancarkan serangan ke atas Sabah seperti yang dilaporkan media antarabangsa.
Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pertemuan mereka baru-baru ini lebih kepada perbincangan mengenai hal-hal ekonomi dan juga keselamatan setempat.
“Dakwaan itu (merekrut 600 pejuang untuk melancarkan serangan) adalah tidak benar. Kita mendapat maklumat mengatakan memang ada perhimpunan mereka berbincang di selatan Filipina tetapi perbincangan itu lebih kepada hal-hal ekonomi dan juga keselamatan setempat.
“Tidak ada berkait pun untuk menyerang Sabah. Jadi, kita lihat ada orang atau pihak yang memanipulasikan maklumat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Khas sempena Lawatan Kerja Timbalan Ketua Polis Negara ke Kontinjen Perak di sini hari ini.
Dalam laporan media Khamis lalu, sebuah akhbar berpangkalan di Hong Kong, China melaporkan kononnya sejumlah 600 anggota pemisah Tentera Diraja Sulu (RSA) bersiap sedia menawan Sabah menjelang akhir Februari tahun depan.
Dakwaan itu diakui Pengerusi Institut Kajian Keamanan, Keganasan dan Pengganas Filipina, Rommel Banloi, yang juga profesor pakar sains politik antarabangsa terkenal di negara berkenaan.
Berdasarkan laporan itu, kumpulan perancang mengarahkan sekurang-kurangnya 200 orang perisik RSA untuk menyusup masuk ke pelbagai kawasan di Sabah beberapa bulan lepas.
Sumber media berkenaan turut tidak menolak kebarangkalian kewujudan ejen pengintip asing yang sudah lama bertapak di Sabah dengan mahir menyamar sebagai penduduk tempatan.
Mengulas lanjut Mazlan berkata, walaupun dakwaan itu tidak benar, pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah juga telah diarahkan untuk sentiasa bersedia dan bekerja seperti biasa.
“Kita ingin menasihati orang ramai khususnya di Sabah jangan gusar dan bimbang. Teruskan kerja harian seperti biasa.
“Memang dari segi maklumat yang kita dapat itu (telah) dimanipulasi sedangkan yang sebenarnya adalah tidak benar,” katanya.