ORLANDO, FLORIDA – Satu ‘kebakaran kecil’ di Walt Disney World Resort, Orlando Florida, tercetus hari ini, dengan kepulan asap dilihat berhampiran dengan Istana Cinderella, lapor akhbar Daily Star hari ini.
Beberapa saksi memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 petang (waktu tempatan) itu, mereka melihat kepulan asap memenuhi kawasan sekitar Istana Cinderella ketika anggota bomba bergegas ke taman tema Magic Kingdom.
Para pekerja di bahagian Haunted Mansion pula dilaporkan menyekat kemasukan pengunjung ke kawasan tarikan tersebut selain lampu berhampiran istana dimatikan supaya asap tidak kelihatan.
“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah kami lihat sepanjang tahun di Magic Kingdom,” kata seorang kru dalam ciapan di Twitter.
Sementara itu, berdasarkan video yang tular di media sosial, para pengunjung dilihat berada dalam keadaan bingung ketika insiden itu berlaku kerana menyangka ia adalah sebahagian daripada pertunjukan.
Menurut seorang saksi, kebakaran berlaku di bahagian dapur restoran Cinderella’s Royal Table, di mana pelanggan telah diminta untuk mengosongkan premis tersebut. Bagaimanapun, maklumat tersebut belum disahkan.
Seorang wartawan yang berada di lokasi kejadian berkata, kebakaran itu telah dipadam menggunakan alat pemadam api selain maklumat lanjut mengenai insiden masih sedang dikumpul.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. – Agensi