fbpx

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Sabtu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rantau negara kini menerima tiupan angin dari arah timur laut dengan kelajuan yang agak kencang terutamanya di sekitar kawasan perairan laut China Selatan berikutan terdapat satu sistem bertekanan rendah kini berlegar di kawasan perairan barat negeri Sarawak.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporannya hari ini berkata, susulan itu amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua telah dikeluarkan di kawasan perairan Samui, Bunguran, Reef South, Layang-layang, Labuan, Sulu, Palawan, Condore dan Reef North.

“Amaran ini berkuat kuasa sehingga 18 Disember 2021 dan turut merangkumi kawasan perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah dan juga Labuan.

“Keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, sukan dan rekreasi laut berikutan ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 4.5 meter di kawasan perairan yang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu di Semenanjung Malaysia pula katanya, pada pagi ini keadaan cuaca adalah cerah di hampir semua negeri di semenanjung kecuali hujan dan ribut petir di satu dua tempat yang kini berlaku di kawasan utara negeri Kelantan, persisiran pantai negeri Terengganu dan juga Pahang.

“Diramalkan keadaan ini akan berlanjutan sehingga ke lewat pagi nanti.

“MetMalaysia juga turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi keseluruhan negeri Kelantan, Terengganu, daerah Jerantut, Kuantan dan Pekan negeri Pahang dan amaran ini pula berkuat kuasa sehingga ke 16 Disember 2021,” ujarnya.

Oleh itu katanya, orang awam di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya berwaspada berikutan hujan berterusan dijangkakan boleh berlaku di kawasan yang berkenaan dalam tempoh amaran ini berkuat kuasa.

“Dalam pada itu, di negeri Sabah pada pagi ini, hujan dan ribut petir kini tertumpu di bahagian timur negeri Sabah dan ianya juga dijangkakan boleh berlanjutan sehingga ke lewat pagi ini.

“Manakala di negeri Sarawak, keadaan cuaca adalah cerah dan tiada hujan,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI