fbpx

Perkeso bantu OKU dapat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (dua dari kanan) beramah mesra dengan OKU yang hadir sekali gus merasmikan Karnival Kerjaya semalam.

KUALA LUMPUR – Karnival Kerjaya orang kurang upaya (OKU) Perkeso, yang berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) telah menyediakan hampir 2,000 peluang pekerjaan daripada 16 majikan.

Karnival Kerjaya tawar hampir 2,000 peluang pekerjaan, libatkan 16 majikan

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Karnival Kerjaya itu diadakan bersempena sambutan Hari OKU Sedunia dan juga merupakan usa­ha Perkeso membantu mempersiapkan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan.

“Terdapat hampir 2,000 kekosongan jawatan menanti de­ngan lebih daripada 16 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka.

“Ini membuktikan tiada golo­ngan yang terabai mahupun tercicir termasuk golongan OKU yang perlu diberikan peluang pekerjaan yang sama rata, seperti pencari kerja yang lain,” katanya pada sidang akhbar bersempena karnival kerjaya tersebut di sini.

Azman menjelaskan, bagi mana-mana majikan yang menggajikan OKU boleh memohon insentif PenjanaKerjaya 3.0 yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Insentif sebanyak 40 peratus gaji yang ditawarkan untuk majikan yang menggajikan OKU ini adalah sebagai salah satu bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk majikan.

“Mereka layak untuk me­nerima bayaran insentif sehingga RM36,000 bagi tempoh maksimum enam bulan. Bukan itu sahaja, majikan juga boleh menghantar pekerja OKU menjalani program latihan dengan yuran RM4,000 hingga RM7,000 yang ditanggung di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0,” jelasnya.

Menurut beliau, sejak kaunter pendaftaran dibuka seawal jam sembilan pagi tadi, seramai 87 pencari kerja OKU telah hadir ke karnival ini, manakala 25 pencari kerja telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan.

“Selain tawaran pekerjaan, karnival itu turut menyediakan perkhidmatan kaunseling, bantuan pendaftaran untuk mendapatkan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan bantuan permohonan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah SIP Prihatin 2.0 khusus kepada golongan OKU yang terkesan akibat krisis Covis-19,” ujarnya.

Sementara itu, pencari kerja, Mohd. Shahmil Md. Saad, 35, yang merupakan atlet angkat berat negara kelainan upaya, yang bakal ditamatkan kontraknya pada tahun ini berharap dapat mencari kerja baharu untuk menyara keluarganya.

Bapa kepada dua anak yang pernah bekerja sebagai tenaga pengajar sebelum ini telah dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan.

“Semasa mengajar di pusat latihan OKU tersebut, saya mendapat tawaran untuk beraksi dalam sukan negara tetapi malangnya kerana pandemik Covid-19, kami tidak dapat beraksi di mana-mana kejohanan.

“Saya berharap melalui karnival ini, saya dapat mengajar semula, itu lebih baik,” jelasnya yang berasal dari Pahang.

Selain itu, Wong Waiwah, 34, yang diberhentikan kerja sejak setahun lalu akibat serangan angin ahmar berharap dapat bekerja semula menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pelayan restoran, namun pada satu hari saya dikejutkan dengan serangan strok sehingga mengakibatkan seluruh badan bahagian kiri tidak dapat berge­rak.

“Saya hadir hari ini, memang nak mencari kerja kerana ingin hidup seperti orang lain.

“Saya sedang menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka dan Perkeso telah membantu saya menjalani pemulihan untuk kembali sihat dan seterusnya dapat kembali bekerja le­bih awal,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Operasi Sumber Manusia AEON CO. (M) BHD. (AEON), Mohd. Rizal Omar berkata, lebih 50 tawaran kekosongan untuk diisi bagi bahagian pembuatan roti dan juga pembuatan makanan.

“AEON sentiasa bersama Perkeso kerana ini adalah tanggungjawab kami untuk memberi peluang kepada OKU untuk diambil bekerja. Kami juga telah me­netapkan peruntukan bagi sektor pekerjaan untuk golongan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI