fbpx

Peserta teruja promosi alat muzik tradisional negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. ISA (kiri) bersama ahli keluarganya bermain alat muzik di Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini.

LANGKAWI – Para peserta Langkawi Craft Musical Fest 2021 teruja apabila diberi peluang untuk mempromosikan peralatan muzik tradisional yang menjadi identiti negeri masing-masing.

Mereka memperkenalkan peralatan muzik tradisional seperti serunai dan gendang dari Kedah, Rebana (Perak), gambus (Johor) dan sompoton (Sabah).

Ada peserta yang memainkan alat muzik dengan alunan muzik yang mengasyikkan selain turut melakukan demonstrasi pembuatan peralatan berkenaan.

Peserta, Mohd. Isa Md. Noh, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Lang dari Kampung Gelong Gajah mukim Tobiar di Pendang dekat sini berkata, dia gembira apabila dapat memperkenalkan gendang silat Kedah kepada pengunjung Kompleks Kraf.

“Saya akan buat demonstrasi cara pembuatan gendang selain menerangkan tentang peralatan tradisional ini selain turut mempersembahkan alunan muzik.

“Selain alunan muzik persilatan, kami juga boleh mengalunkan irama lagu-lagu moden mengikut permintaan ramai bagi mengikut peredaran zaman,” katanya ketika ditemui di festival tersebut di sini kelmarin.

Lebih menarik, katanya, persembahan turut dibantu dua anaknya iaitu Nurul Nabila, 16, dan Muhammad Putra Adam, 10, yang masing-masing mahir bermain alat itu pada usia sembilan dan empat tahun.

“Anak saudara saya, Mohd. Zulhelmi Mustafa, 26, juga menyertai festival ini dengan alat muzik tradisional, serunai,” jelasnya.

Tambahnya, ramai anak muda masih berminat dengan peralatan muzik tradisional itu dan berharap lebih banyak aktiviti dan program yang mempromosikan seni warisan budaya negara itu dianjurkan supaya tidak lenyap ditelan zaman.

Pembuat Rebana Perak, Mohd. Sapri Bahari, 66, dari Kuala Kangsar, Perak berkata, dia bertekad untuk terus mempromosikan Rebana Perak kepada orang ramai terutama dalam kalangan orang muda.

“Alat tradisional ini bukan sahaja dimainkan pada majlis keraian, malah ia mempunyai nilai tinggi sebagai produk pelancongan,” katanya.

Mohd. Sapri sentiasa menganjurkan kelas dan kursus kepada mereka yang berminat tentang Rebana Perak.

Sementara itu peserta dari Sabah, George Albert, 51, pula memperkenalkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazan Dusun iaitu sompoton yang antara bahannya diperbuat daripada buluh dan labu air.

“Promosi berterusan perlu dibuat bagi memastikan peralatan tradisional negara dikenali ramai kerana sompoton beberapa tahun lalu hampir lenyap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI