fbpx

Tular kanak-kanak dilarikan di Pantai Port Dickson tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar posting di Facebook mengenai seorang kanak-kanak di Teluk Kemang 30 Ogos lalu.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

PORT DICKSON – Kes mengenai seorang kanak-kanak yang tular di media sosial kononnya dilarikan seorang lelaki di Pantai Teluk Kemang di sini pada 30 Ogos lalu adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan kanak-kanak perempuan seperti yang telah ditularkan.

“Berita seorang kanak-kanak perempuan dilarikan seorang lelaki Melayu sejauh 3.5 kilometer dan ditinggalkan di hujung pantai adalah tidak benar kerana tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Jelas Aidi Sham, bagaimanapun, pada 2.30 petang semalam, sepasukan polis daripada Balai Polis Teluk Kemang dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dimaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun hilang di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

“Kanak-kanak ini ditemui semula pada pukul 3 petang oleh pengusaha bot di kawasan Pantai 2 Teluk Kemang dan diserahkan dengan selamat kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak ini dipercayai tersesat dan hilang dari pandangan keluarga disebabkan kesesakan pengunjung yang membanjiri kawasan tersebut ekoran cuti umum,” katanya.

Aidi Sham berkata, jarak tempat hilang dan tempat kanak-kanak itu dijumpai oleh pengusaha bot adalah lebih kurang 100 meter dari kawasan ahli keluarganya berkumpul.

“Menurut bapa kanak-kanak itu, mereka sekeluarga datang ke Port Dickson bersama empat orang anak berusia dua tahun hingga 12 tahun.

“Mereka sekeluarga datang dari Cheras, Selangor dengan tujuan untuk bercuti sambil beriadah di Pantai Teluk Kemang,” katanya.

Tambah Aidi Sham, orang ramai dan pengunjung pantai dinasihatkan sapaya sentiasa memastikan keselamatan ahli keluarga ketika beriadah di pantai ini serta menjaga jarak sosial sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI