LONDON – Ahli psikik popular, Uri Geller meramalkan bahawa makhluk asing akan mendarat di Bumi tidak lama lagi selepas bertahun-tahun melakukan kajian ke atas manusia, lapor akhbar Daily Star semalam.
Geller berkata, dia percaya lokasi pendaratan pertama makhluk asing di Bumi bagi menunjukkan diri kepada manusia adalah di White House, Amerika Syarikat sekali gus sama seperti yang pernah dipaparkan dalam filem sains fiksyen arahan Steven Spielberg.
“Saya berpendapat makhluk asing sedang mengkaji kita tetapi saya tidak tahu apa yang ia mahukan,” katanya.
Geller menambah, dia menjangkakan pendaratan tersebut akan berlaku pada abad akan datang.
“Tidak mungkin kejadian itu berlaku dalam beribu-ribu atau beratus-ratus tahun lagi. Jika difikirkan secara rasional, saya meramalkan kejadian tersebut akan berlaku dalam tempoh 60 tahun hingga 75 tahun lagi,” ujarnya.
Geller sebelum ini mendakwa bahawa dia pernah bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ada melihat bangkai kapal angkasa makhluk asing.
Dia turut percaya bahawa Pentagon mengetahui banyak perkara mengenai makhluk asing, namun tidak mendedahkannya kepada orang ramai. – Agensi