SEREMBAN – Seramai 12,500 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan 324 balai bomba di seluruh negara bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku hujung tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, anggota dan aset jabatan juga turut bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi situasi luar jangka seperti kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.
“JBPM kini mengatur strategi logistik di air, darat serta udara dan dalam keadaan siap siaga menghadapi banjir. Kami memfokuskan kepada enam buah negeri termasuk tiga negeri di Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Johor.
“Bagaimanapun, nampaknya keadaan cuaca tidak dapat dijangka dan sekarang ini negeri Kedah berlaku banjir. Saya juga ada melihat negeri Kelantan, Kedah dan Pahang yang semakin kerap berlaku banjir dan negeri-negeri tertentu yang kami tidak anggap sebagai berada dalam tempoh Monsun Timur Laut juga ada berlaku banjir seperti di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Hamdan memaklumkan, situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara sedikit sebanyak memberi cabaran dalam urusan pemindahan mangsa selain kerja-kerja mencari dan menyelamat. – K! ONLINE.