fbpx

Harap dapat bawa anak tunai umrah – Nana Mahazan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENGIKUT perancangan, Nana mahu menunaikan umrah bersama suami, kedua ibu bapa serta anak-anaknya.

PETALING JAYA – Pengacara Nana Mahazan berharap agar impian untuk membawa dua orang anaknya menunaikan ibadah umrah pada tahun hadapan dipermudahkan.

Ujar bekas peserta program Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu, dia sudah pun berurusan dengan beberapa agensi yang menguruskan ibadah umrah, namun diberitahu bahawa buat ketika ini kanak-kanak masih tidak dibenarkan untuk menunaikan umrah.

“Saya bercadang untuk membawa kedua ibu bapa, suami dan anak-anak menunaikan umrah pada Februari tahun depan.

“Tapi malangnya pihak agensi pelancongan memberitahu yang saya tidak boleh membawa anak-anak bersama kali ini kerana itu adalah prosedur baharu untuk ke Tanah Suci,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dia tidak tahu siapa yang akan menjaga kedua-dua orang anaknya sepanjang dia dan ahli keluarga lain berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.

“Kalau anak-anak tak boleh dibawa, saya tak tahu nak minta siapa jaga mereka sepanjang saya dan suami tunaikan umrah. Setidaknya kalau boleh dibawa, saya boleh minta mereka duduk saja di bilik hotel,” katanya.

Justeru, Nana atau nama lengkapnya Nurul Hana Che Mahazan berharap supaya umrah pertamanya yang dirancang dipermudahkan urusan supaya dia berserta keluarga dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Saya memang teruja nak jejakkan kaki ke Tanah Suci. Umrah ini bakal menjadi pengalaman pertama saya dan suami.

“Saya anggap apa yang berlaku ini adalah dugaan yang Allah SWT berikan. Saya percaya pasti ada jalan terbaik untuk bawa anak-anak ke sana.

“Doakan semoga urusan saya dipermudahkan. Saya memang sudah berhajat untuk tunaikan umrah tahun depan,” katanya.

Sekadar info, Nana mula mencuri perhatian netizen pada 15 Ogos lalu apabila tampil berhijab menerusi sebuah video berdurasi 30 minit yang dimuat naik dalam Instagramnya ketika sedang mempromosikan produk berupa sambal yang diusahakannya.

Sejak berhijab, Nana menerima respons positif daripada peminat sehingga ada yang mendedahkan mula mengenakan stoking disebabkan pengacara itu.

Bagaimanapun Nana berkata, sebaiknya peminat tersebut berbuat kebaikan dan berubah kerana Allah, bukan disebabkan dirinya yang naif dalam banyak hal agama.

Nana mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Raqeem Brian Abdullah pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Althea Raqeem Brian, 11, dan Aaqib yang kini berusia sembilan tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI