fbpx

Taktik guna kod QR beg plastik terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan menunjukkan contoh beg plastik diedarkan sindiket yang menggunakan taktik terbaharu kod QR untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

MELAKA – Selepas menggunakan kaedah ‘kaunter seluk tangan’ di kedai-kedai runcit tertentu untuk membeli ‘topup’ atau kod nilai tambah judi dalam talian, kini sindiket itu mengubah taktik ‘halus’ menggunakan kod QR rahsia yang dicetak pada beg plastik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu ketika ditemui Kosmo! mendedahkan modus operandi terbaharu itu yang cuba digunakan secara meluas di negeri ini oleh ahli sindiket.

Beliau berkata, taktik moden itu dikesan dibawa dari negeri jiran sejak Mac lalu, sebelum berjaya dihidu oleh pasukan JSJ kontinjen Melaka.

“Pada Mac lalu, pasukan kita berjaya mengesan satu modus operandi baharu sindiket judi dalam talian yang mencetak kod QR pada beg plastik dan mengedarkannya di kedai-kedai runcit sekitar negeri ini.

“Kaki judi akan mengimbas kod tersebut untuk mengakses terus ke laman web judi syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini.

Tambahnya, pihaknya juga percaya pemilik kedai runcit turut terlibat dalam jenayah tersebut, namun mereka menggunakan alasan beg plastik itu telah diberikan secara percuma oleh individu tidak dikenali sebagai liabiliti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas mengimbas kod QR tersebut, pelanggan akan diminta untuk mendaftar sebagai pemain menerusi nombor kod kebenaran transaksi (TAC) yang dihantar.

“Pelanggan akan membuat pendaftaran melalui TAC dan kredit percuma antara RM5 sehingga RM20 sebagai penghargaan.

“Modus operandi ini bagaimanapun berjaya kita patahkan di awal kegiatannya dan kini kita kesan aktiviti judi dalam talian ini beralih semula kepada taktik lama iaitu menerusi aplikasi sosial Telegram,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI