fbpx

Rumah kotor, Cef Wan ‘naik hantu’, pecat orang gaji pemalas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CEF WAN menunjukkan keadaan rumahnya yang berhabuk teruk sebaik pulang dari Turki.

PETALING JAYA – Cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan naik marah apabila rumahnya berada dalam keadaan kotor gara-gara tidak dibersihkan dengan sempurna oleh pembantu rumahnhya.

Sebaik pulang daripada percutian di Turki, dia terpaksa menahan sakit mata dan hati apabila mendapati keadaan rumahnya sangat kotor dan berdebu selain balkoni rumah yang berlumut.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, dia berasa sangat geram kerana gaji yang dibayar kepada pembantu rumah warga tempatan itu tidak setimpal dengan hasil kerja yang dilakukan.

“Bukan luas pun balkoni ini nak dibasuh dan berus lumut. Cuma perlu buat seminggu sekali sahaja. Susah sangat ke? Sejak dua minggu lalu sebelum saya berangkat ke Turki tidak dibasuh.

“Gaji saya bayar RM1,800 untuk bekerja selama tiga hari seminggu selama empat jam. Hasilnya seperti ini?” luahnya kesal kerana niatnya menolong pembantu rumah tersebut dengan memberinya pekerjaan tidak dihargai sebaiknya,” tulis lelaki berusia 65 tahun itu menerusi Instagram.

Tambah Cef Wan: “Dia datang dekat saya seperti ‘semut’ meminta belas kasihan dan pertolongan. Apabila dibantu lain pula sikap masing-masing.

“Apa masalahnya dengan mereka ini? Mereka tak tahu ke apa itu amanah kerja dan tanggungjawab untuk sempurnakan tugas-tugas mereka.”

Atas apa yang terjadi, difahamkan Cef Wan telah pun memberhentikan pembantu rumah tersebut selepas tiga bulan diambil bekerja.

“Saya sudah lelah untuk menjadi baik dan bertimbang rasa dengan manusia yang mempunyai sikap tidak bertanggungjawab seperti itu,” tegasnya.

Cef Wan berharap agar perkara tersebut dijadikan pengajaran kepada individu terbabit serta orang lain supaya bersikap amanah dan bertanggungjawab atas tugas yang diamanahkan.

“Allah SWT melihat segala-galanya. Buatlah banyak-banyak kerja kotor (tidak amanah). Satu hari nanti pasti akan mendapat balasannya,” kata Cef Wan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI