KEMAMAN – Jeritan sahabat dari luar rumah menyelamatkan seorang warga emas daripada terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah dihuninya berhampiran Hospital Kemaman, di sini hari ini.
Dalam kebakaran sekitar pukul 12.20 tengah malam itu, Othman Salleh, 76, dan sahabatnya, Ismail Ali, 73, tinggal sehelai sepinggang dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan peribadi.
Othman berkata, sewaktu kejadian, dia sedang nyenyak tidur sebelum sebelum mendengar jeritan kuat Ismail menyuruhnya keluar segera dari rumah yang sedang marak terbakar.
“Waktu itu, sahabat saya (Ismail) baru pulang dari kedai berhampiran. Sebaik tersedar, saya dapat rasa bahang panas dengan api sedang marak dari bahagian sebuah bilik.
“Saya cuba ambil wang tunai RM100 dan telefon bimbit yang terletak di dalam almari tetapi tidak sempat kerana api sudah terlalu marak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Othman berkata, dia yang tidak pernah berkahwin menumpang rumah Ismail yang juga sahabat baiknya sejak beberapa tahun lalu dan hanya bertemu dengan adiknya seminggu sekali.
“Kini saya dan Ismail hilang tempat berteduh dan terpaksa menumpang di Balai Raya Kampung Dato’, Chukai di sini,” katanya. – K!ONLINE