fbpx

Netizen kecam lelaki ‘pau’ pengunjung Tanjung Asam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki mengenakan bayaran kepada pengunjung yang mahu menggunakan gazebo di Pantai Tanjung Asam.

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki mengherdik pengunjung sebuah kawasan perkelahan mendapat kecaman orang ramai.

Menerusi perkongsian video berdurasi satu minit 43 saat di laman Facebook memaparkan, dua orang lelaki sedang bertengkar dipercayai kerana seorang daripada lelaki itu memasang khemah di sebuah gazebo yang disediakan.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Pantai Tanjung Asam, Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Difahamkan, seorang lelaki yang merupakan penjaga tandas awam di kawasan itu tidak berpuas hati dan mendakwa pengunjung berkenaan perlu membuat bayaran sebanyak RM50 kepadanya jika mahu menggunakan gazebo tersebut.

Lelaki itu juga mendakwa dia sudah membayar RM30,000 kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi membina gazebo berkenaan.

Susulan video tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz melalui hantaran di Facebooknya meluahkan rasa kesal berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kawasan tersebut adalah milik rizab kerajaan dan boleh digunakan orang awam tanpa perlu membuat apa-apa bayaran.

“Saya tegaskan di sini bahawa kawasan berkenaan adalah milik rizab kerajaan dan boleh digunakan oleh orang awam tidak kira siapa mereka yang hadir untuk menggunakan ruang pantai ataupun gazebo yang disediakan oleh JPS DBD.

“Buat masa ini tiada pihak yang diberikan kuasa untuk mengenakan apa-apa bayaran seperti harta persendirian atau pihak yang diberikan kuasa tata kelola kawasan perkelahan tersebut,” katanya.

Azrul Mahathir turut meminta orang awam melaporkan kejadian itu di balai polis berdekatan sekiranya berlaku lagi.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan penjaga tandas tersebut yang disifatkan mengambil kesempatan terhadap pengunjung.

“Baru-baru ini aku kena RM10 sebab letak tikar dalam gazebo tu,” kongsi Muhamad Shahrizan.

“Minggu lepas suami nak ke sini, berkhemah tapak kena bayar RM60, khemah bawa sendiri. Satu khemah boleh empat orang je katanya, lebih seorang tambah RM5, siap tunjuk sampai ke hujung pantai tu kawasan dia katanya,” kata Anisah Archat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI