KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan secara hibrid (dalam talian) bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tidak menolak kemungkinan prosiding sedemikian (hibrid) dijalankan pada masa hadapan.
“Berkenaan dengan permohonan pihak pendakwaan untuk prosiding hibrid, selepas mempertimbangkan hujahan lisan dan memikirkan perkara itu, buat masa ini mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan namun tidak menolak akan melakukannya (hibrid) pada masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada Khamis ini kerana Najib dan peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih dilarang masuk ke mahkamah kerana status MySejahtera mereka ditandakan sebagai ‘kontak kasual’.
Terdahulu, peguam Najib Datuk Hariharan Tara Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dan rakan peguamnya tidak boleh memasuki bangunan mahkamah kerana status dalam permohonan MySejahtera mereka.
“Status anak guam saya dibawah kategori itu dan dia tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah. Dia hanya berada di tempat letak kereta sekarang. Kedua-dua (Najib dan Muhammad Shafee) berjumpa dengan anak Muhammad Shafee iaitu Muhammad Farhan (yang positif Covid-19) pada 6 Disember dan tempoh kuarantin 10 hari akan tamat esok (Rabu),” katanya.
Justeru apabila perbicaraan diteruskan Khamis ini, pihak pembelaan akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd. Hazem Abdul Rahman dan ketua pegawai kewangan syarikat itu, Azmi Tahir yang merupakan saksi ke-12 dan ke -13. -K! ONLINE