SELAYANG – Padah memiliki karkas (bahagian badan) lembu seberat 361 kilogram (kg) yang tidak disembelih tahun lalu, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Azzamuddin Ishak, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan Azzamuddin dipenjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu. OKS membayar jumlah denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Azzamuddin didakwa memiliki karkas lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau rumah penyembelihan yang dilesenkan dengan melanggar peruntukan dibawah Kaedah 5(3), Kaedah-kaedah Binatang (kawalan penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangsal penyembelihan di Sungai Bakau, Rawang di sini pukul 5.30 pagi pada 13 Oktober 2019.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut kaedah 2(a), (b), Kaedah-kaedah Binatang (kawalan penyembelihan) (pindaan) 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohammad Firdaus Mat Ludin memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat sebagai pengajaran dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun Azzamuddin yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan baru memulakan perniagaan itu dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan JPV telah membuat serbuan di bangsal milik OKS di Sungai Bakau, Rawang.
Hasil pemeriksaan itu, didapati OKS telah memiliki karkas lembu seberat 361 kg, tujuh bilah pisau, dua bilah parang, dua bilah pengasah dan satu unit alat timbang. – K! ONLINE