fbpx

Tirai Ratu bangkit, catat tempahan penuh tahun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rita HARTINI (kiri) sedang menyusun aksesori dan peralatan di pentas pelamin di Tirai Ratu Event Hall di Bandar Bukit Raja baru-baru ini.

KLANG – Syarikat perancang perkahwinan, Tirai Ratu Sdn. Bhd. (Tirai Ratu) kembali bangkit selepas enam bulan operasi perniagaannya terpaksa ditutup sejak Mei lalu.

Sehingga kini, syarikat yang telah ditubuhkan pada 2004 itu sudah menerima tempahan penuh pelanggan sehingga perte­ngahan tahun depan.

Pengasas syarikat, Rita Hartini Rozali berkata, larangan penganjuran majlis sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kemerosotan pendapatan yang pa­ling teruk pernah dicatatnya.

“Sejak Mac tahun lalu, keuntungan Tirai Ratu terus menyusut begitu te­ruk.

“Selepas operasi syarikat diberhentikan buat sementara waktu, saya terpaksa menjual laksa di beberapa buah gerai di Shah Alam untuk mencari duit demi membayar gaji tiga pekerja dan juga kelangsungan hidup saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dewan majlis baharu, Tirai Ratu Event Hall di Bandar Bukit Raja di sini baru-baru ini.

Rita Hartini menjelaskan, berbekalkan modal yang ada, operasi Tirai Ratu dimulakan semula pada awal November lalu dan sehingga kini terdapat permintaan tinggi daripada bakal pasangan pengantin.

Beliau sentiasa bersedia mematuhi prosedur operasi stan­dard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya dari aspek jumlah kapasiti tetamu.

“Kami menetapkan sesuatu majlis hanya berlangsung selama lima jam dengan kapasiti 150 orang bagi setiap jam.

“Selain perkahwinan, Tirai Ratu menawarkan perkhidmatan majlis keraian lain meliputi pakej katering, dewan dan peralatan lain,” katanya.

Selain itu, Rita Hartini me­nyasarkan pembukaan cawa­ngan baharu di Bangi tahun depan bagi memenuhi pertambahan jumlah tempahan pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI