fbpx

Pendapatan terjejas, kaki pula kena potong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAITON menunjukkan kaki suaminya yang dipotong ketika ditemui di rumah pasangan itu di PPR Senawang, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Sepasang suami­ isteri bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila diuji masalah kesihatan selepas pendapatan terjejas sepanjang Pe­rintah kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Mustafa Katim, 60, yang menghidap kencing manis sejak tiga tahun lalu kini bergerak de­ngan menggunakan kerusi roda selepas kaki kanannya dipotong pada November lalu.

Isteri Mustafa, Zaiton Zakaria, 55, pula diuji penyakit tiroid, jantung, darah tinggi dan kencing manis. Pasangan itu menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Senawang di sini.

Menurut Mustafa, dia meneruskan hidup dengan wang bantuan sebanyak RM360 sebulan yang diterima daripada Baitulmal kerana sudah tidak lagi mampu untuk bekerja.

“Sebelum ini, saya dan isteri berniaga kedai makan, namun sejak PKP dilaksanakan pada tahun lepas perniagaan terjejas. Apabila PKP ditamatkan, kaki saya pula terpaksa dipotong,” katanya kepada ditemui baru-baru ini.

Mustafa memberitahu, wang bantuan Baitumal digunakan sebaik mungkin untuk membayar sewa rumah sebanyak RM124 sebulan dan perbelanjaan lain.

“Saya ada tujuh anak, tetapi masing-masing hidup sederhana. Saya tidak mahu menyusahkan mereka. Kalau kaki tidak dipotong, saya boleh berniaga semula. Ini ujian Allah buat kami,” ujarnya.

Pasangan itu tinggal bersama anak bongsu berusia 19 tahun dan cucu berusia lima tahun.

Sementara itu, Jurucakap Baitulmal berkata, Mustafa dan isterinya merupakan penerima bantuan kewangan secara bulanan sejak 2014 dan Majlis Agama­ Islam Negeri Sembilan akan membantu membayar tunggakan sewa rumah RM1,500.

Orang ramai yang mahu membantu boleh berbuat demikian menerusi Bank Simpanan Nasional bernombor 05112 4100001 6732 atas nama Mustafa Katim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI