Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
TAIPING – Seorang wanita dipercayai mengalami kecederaan patah kaki selepas aktiviti terjunan udara yang dilakukannya terganggu ketika menyertai Merdeka Jump 2020 di Lapangan Terbang Tekah di sini kelmarin.
Satu rakaman video berdurasi 59 saat yang tular sejak semalam menunjukkan wanita tersebut berpusing beberapa kali di udara dan dia dilihat tidak mendarat dengan baik sebelum terhempas ke tanah.
Beberapa petugas daripada pihak penganjur, AFJets Skydive Club kemudiannya bergegas menghampiri mangsa untuk memberikan bantuan.
Menurut pihak penganjur, penerjun tersebut kini berada dalam keadaan baik dan namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Program Merdeka Jump 2020 dianjurkan selama dua hari bermula Jumaat lalu sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63.
Aktiviti berkenaan mencatat sejarah apabila diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori penyertaan penerjun paling ramai dalam program terjunan udara dengan jumlah penyertaan seramai 140 penerjun. – K! ONLINE