IPOH – Identiti lelaki yang terjun ke dalam Tasik Cermin di sini yang rakaman videonya menjadi tular di aplikasi TikTok sejak dua hari lalu belum dikenal pasti tetapi dipercayai mungkin seorang berketurunan Arab.
Ia susulan rakaman video kedua insiden tersebut yang dimuat naik di laman Twitter oleh pemilik akauan, sul@RasulShamsuddin pada petang semalam.
Berita berkaitan: Angkara kamu terjun, Tasik Cermin ditutup
Video berdurasi kira-kira 9 saat itu pula diambil menerusi penghantaran daripada akaun TikTok Syafiruzafiza iaitu individu awal yang memuat naik paparan berkenaan.
Ia memaparkan lelaki tersebut yang berpakaian serba hitam dalam keadaan basah kuyup memanjat kayu penghalang sebelum berdiri di atasnya dan terjun.
“Ni part two, see tkda (tiada) benda pun nk (nak) dia selamatkan and dia not Malaysia orang arab,” tulis penhantar video itu.
Berdasarkan video ini, individu tersebut dipercayai lelaki sama yang disyaki terjun ke Tasik Cermin pada video terdahulu berdurasi kira-kira 15 saat.
Aksi lelaki ini juga sempat dirakam oleh seorang wanita hanya berdiri beberapa meter dari situ dipercayai pengunjung yang datang ke tasik tersebut bersama keluarganya.
Hantaran video kedua ini turut mendapat pelbagai reaksi pelayar antaranya Buckyyyyy@Syhr_Aisr yang berkata; “Patutlah pak Arab rupanya”.
Turut memberi komen ialah ziraaa@IeraZulkifli yang katanya, “Arabic memang gitu, datang negara orang buat kucar kacir. Dia rasa dia je yang betul sebab dia banyak duit”.
Susulan video tular itu, semalam Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan menyiasat individu yang terlibat di dalam video tersebut.
“Setakat ini, identiti individu tersebut masih dalam siasatan dan pihak MBI akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” kata beliau. -K! ONLINE