KUCHING – Teater Muzikal Puteri Santubong yang ditayangkan secara eksklusif selama dua hari bermula semalam menampilkan naratif berbeza berbanding penceritaan kisah legenda seperti sebelum ini.
Menariknya, teater muzikal tersebut yang menampilkan barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Azrel Ismail, Sofi Jikan, Dewi Seriestha dan Anding Indrawani turut menggunakan paparan skrin LED bagi menaikkan elemen sinematografi.
Penerbit Eksekutifnya, Zaini Zainuddin berkata, teater muzikal berkenaan bukan sahaja menampilkan naratif berbeza tetapi menggabungkan pelbagai pengajaran untuk diteladani penonton.
“Jalan cerita kali ini berbeza daripada yang sering kita dengar iaitu Puteri Santubong sering bergaduh dengan Puteri Sejinjang.
“Naratif kali ini, Puteri Santubong menurunkan tujuh puteri ke bumi dari kayangan termasuklah Puteri Sejinjang untuk mengajar peradaban kepada manusia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Budaya Sarawak, di sini semalam.
Bagaimanapun katanya, naratif legenda tersebut diteruskan dengan menyelitkan unsur konflik menerusi kisah pergaduhan dua puteri selepas pelanggaran pantang kerana bercinta dengan manusia.
“Penghujung kisahnya, kita selitkan elemen kekeluargaan, peradaban selain kelembutan ratu dalam menyelesaikan konflik berlaku,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaini turut menyasarkan sebanyak 200,000 tontonan secara langsung sepanjang dua hari pementasan dianjurkan.
“Sebelum ini, sasaran kami hanya sekitar 10,000 tontonan. Tetapi apabila melihat sambutan yang diberikan semalam, kami jangkakan pementasa ini mampu mencecah hingga 200,000 tontonan untuk tempoh dua hari.
“Menerusi data semalam, sebanyak 110,000 akaun cuba untuk menonton secara langsung dan kami jangkakan jumlah pada malam ini juga pada angka yang sama,” jelasnya. – K! ONLINE