PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa terpinga-pinga ketika ditanya tentang desas-desus kononnya sedang didekati usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli.
Jawab Rossa, dia sebetulnya tidak mengenali siapa Iqbal biarpun baru-baru ini ada bertemu sewaktu majlis tayangan filem Love Knots di Jakarta, Indonesia.
Umum sedia maklum bahawa Iqbal, 27, kini berada di negara republik tersebut atas urusan kerja selain memberitahu dia cuba membawa diri selepas siri kontroversi membabitkan hubungannya dengan usahawan Datuk Seri Vida.
Iqbal yang memuat naik gambarnya bersama Rossa menerusi Instagram baru-baru ini meluahkan hasrat untuk mendekati penyanyi beranak satu itu dengan lebih dalam.
Bekas pembantu peribadi kepada Vida itu menyifatkan Rossa sebagai seorang wanita yang lemah lembut, sopan dan minimalis dalam berfesyen.
“Siapa ya? Maaf, saya tidak perasan sebab ramai yang datang bergambar dan sekejap sahaja. Saya terlupa.
“Saya tak kenal siapa dia. Tapi saya ingat, ada orang Malaysia bergambar dengan saya pada acara tersebut baru-baru ini. Tapi kami tak berbual selepas ambil gambar bersama,” jelasnya sambil tertawa tidak menyangka gambar sebegitu menjadi gosip di Malaysia.
Biarpun begitu, penyanyi yang digelar Diva Indonesia itu mengakui, dia tidak keberatan andainya sesiapa mahu mendekatinya atas ikatan persahabatan.
“Kalau berkenalan untuk berkawan, tak mengapa. Kalau teman-teman media mahu carikan jodoh untuk saya, boleh sahaja tapi tak mahu gosip,” seloroh Rossa ketika ditemu bual secara maya sempena mempromosikan lagu baharunya berjudul Terlalu Berharap hari ini.
Lagu yang merupakan ciptaan penyanyi Andmesh tersebut dijadikan sebagai runut untuk filem Love Knots, dibintangi Rizky Nazzar, Beby Tsabina dan Aidil Saputra. – K! ONLINE