PETALING JAYA – Penyanyi yang juga maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir disahkan positif Covid-19 sejak semalam dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Datin Marlia Musa yang turut memberitahu, keadaan kesihatan suaminya bagaimanapun dalam keadaan stabil.
“Benar, dia (M. Nasir) positif Covid-19 dan sekarang sedang berehat dan menjalani kuarantin di rumah.
“Simptom yang dialaminya sekarang hanya batuk sahaja. Mohon semua doakan agar dia segera sembuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut Marlia, 53, hanya suaminya seorang sahaja yang disahkan positif buat masa sekarang.
“Saya, anak-anak serta orang gaji, status kami semua negatif buat masa sekarang,” katanya.
Baru sahaja melakukan persembahan pentas pada Malam Kemuncak Festival Filem Malaysia ke-31 Jumaat lalu, Marlia mendedahkan, waktu itu, status suaminya negatif.
“Ya, hari Jumaat kami buat ujian kendiri. Jadi, Dato (M. Nasir) pergi FFM31 dengan bacaan ujian yang waktu itu negatif. Hari Ahad (semalam) baru dia positif,” katanya lagi. – K! ONLINE