KUCHING – Seramai 5,522 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di 85 pusat mengundi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijadualkan esok.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, setiap anggota polis terlibat juga akan ditempatkan di setiap lokasi pengundian awal.
“Setiap saluran mengundi awal akan dijaga oleh polis dengan setiap zon ditempatkan seorang pegawai zon khusus untuk memastikan keselamatan serta perjalanan hari mengundi awal lancar.
“Pusat mengundi awal itu terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontijen, Ibu Pejabat Polis Daerah selain rumah persatuan keluarga polis, pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, pusat mengundi awal itu akan dibuka bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.
“Seramai 10,458 polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan mengundi awal di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan,” katanya. -K! ONLINE