PETALING JAYA – Pelakon popular, Uqasha Senrose meluahkan rasa terkilan apabila ada segelintir pihak tergamak mengeluarkan bahasa kotor dan skeptikal dengan perancangan menunaikan umrah ke Tanah Suci sebagai destinasi pertama yang mahu dikunjungi bersama suaminya, pelakon Kamal Adli.
Kata Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, keputusannya untuk menunaikan umrah ialah untuk beribadah bukannya ‘berseronok’ atau melancong sebagaimana yang difikirkan.
“Saya telah menunaikan umrah sebanyak tiga kali sebelum ini dan sudah melalui proses khusus untuk ke sana, bukannya pergi hendak berjalan-jalan.
“Orang nak beribadah, bukan ke sana nak ‘main’. Cantik sungguh bahasa masya-Allah,” katanya dalam satu hantaran Instastory semalam.
Ujar pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu, jika benar-benar berseronok sebagaimana yang difikirkan, dia pasti memilih lokasi lain untuk berbulan madu bersama Kamal.
Tegasnya lagi, perjalanan ke Tanah Suci juga telah dirancang dan diatur oleh sebuah agensi umrah bersama-sama ahli keluarga lain.
“Jika nak berbulan madu, lebih baik saya pilih tempat lain. Saya pergi dengan agensi yang disertai oleh ustaz.
“Saya juga ke sana bukan hanya dengan suami sahaja, adik-beradik seperti Nelydia Senrose juga ikut. Sepatutnya doa yang baik-baik atau mengirimkan doa, Allahuakbar,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha memuat naik tangkap layar sebuah akaun parodi di Twitter membuat ‘pesanan mesra’ untuknya dan Kamal agar berhati-hati sepanjang menunaikan umrah bagi mengelakkan dikenakan bayaran dam (denda).
“Hati-hati Uqasha. Jangan sampai kena bayar dam sebab terlajak mesra waktu tunaikan umrah,” usik seorang netizen.
Berita perkahwinan pasangan itu hanya dikongsi secara rasmi kepada umum pada 7 Disember lalu selepas sebulan bergelar suami isteri setelah bernikah di Janda Baik, Pahang. -K! ONLINE