Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
KUALA LUMPUR – Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendapat sambutan luar biasa dengan menerima lebih daripada 103,000 pengunjung.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, program julung kali yang telah melibatkan penyertaan daripada semua kementerian dan agensi itu berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, hari AKM secara keseluruhannya melibatkan sebanyak 31 gerai pameran yang terdiri daripada 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta 102 jualan gerai usahawan.
“Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan, sukan rakyat dan pertandingan e-Sukan telah menjadi antara tarikan utama pengunjung sepanjang program ini.
“Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia pula telah menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan.
“Seramai 3,628 peserta daripada 4,005 orang peserta berdaftar telah dipanggil menghadiri temu duga dan lebih 2,690 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang di pohon setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Program 100 Hari AKM dan Cabutan Bertuah Perdana semalam.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Mohd. Zuki berkata, program ‘Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia’ pula telah mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa.
Tambah beliau, pengunjung hadir untuk mendapatkan maklumat tawaran secara langsung untuk memasuki program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi pengajian tinggi (IPT) di samping menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan lain-lain lagi.
Bagi meneruskan lagi momentum dan kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia, Mohd. Zuki berkata, inisiatif seumpama ini akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama.
“Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.