PETALING JAYA – Bukan mudah untuk membangunkan perniagaan sendiri semula setelah sebelum ini pernah berada di puncak sebagai salah seorang pengedar sebuah syarikat yang mengedarkan beberapa produk penjagaan kecantikan berjaya.
Pengasas Devisa Empire Sdn. Bhd. (Devisa Empire), Saebah Abd. Rahim, 45, terpaksa melepaskan segala kemewahan hasil kerjasama dan komitmen daripada ratusan ejen jualan di bawah bimbingannya selama dua tahun kerana wujud masalah dalaman pengurusan syarikat berkenaan.
Anggaplah ia sebagai guru, pengalaman dan pengajaran buat dirinya nanti apabila sudah berjaya membangunkan perniagaan baharu pada masa depan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama sehingga menjejaskan periuk nasi orang lain.
Agak janggal bagi dirinya untuk kembali melangkah ke dunia pekerjaan kerana umurnya sudah melepasi angka 40 tahun dan akhirnya beliau terpaksa memikirkan jalan selamat untuk membina semula kehidupan dalam dunia perniagaan.
Saebah sebelum ini pernah bekerja dalam bidang pengurusan dan berniaga secara separuh masa sebagai hobi untuk mengisi masa lapang serta menambah duit poket.
Ternyata, pendapatan berniaga semakin bertambah dan wanita berasal dari Benut, Pontian, Johor itu nekad berhenti kerja untuk memberi tumpuan terhadap perniagaan mengedar produk penjagaan kesihatan dan kecantikan.
“Disebabkan masalah dalaman, saya dipecat daripada syarikat.
“Lebih mencabar lagi, setahun selepas itu, suami yang menjadi tempat bergantung hidup yang sentiasa memberi semangat kepada diri saya selama ini telah dijemput Illahi.
“Insiden secara mengejut itu membuatkan saya menyendiri selama dua bulan dan kekuatan saya untuk bangkit kembali adalah ketika memandangkan wajah anak-anak yang sedang membesar.
“Saya tidak mahu ketiga orang anak saya yang berumur 19 tahun, 16 tahun dan juga tujuh tahun pula kehilangan ibunya tanpa meninggalkan mereka bekalan harta di dunia dan juga di akhirat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bermula dari situ pada tahun 2020, Saebah mencari kekuatan diri dengan merancang untuk membina perniagaan sendiri dengan berbekalkan modal daripada jualan tiga buah kereta mewah dan juga beberapa barang kemas hasil titik peluh perniagaannya sebelum ini.
Produk sulung syarikat adalah Jus Delima Innocent yang merupakan makanan tambahan untuk meningkatkan tahap kesihatan diri secara dalaman dan juga bersesuaian untuk seisi keluarga.
Selepas segala perancangan dilaksanakan, ibu tunggal ini diuji dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan operasinya terpaksa beralih secara online sepenuhnya.
“Sebelum ini, saya tidak berminat untuk berniaga secara online dan saya lebih percaya kepada offline kerana pertemuan bersemuka dapat memberi banyak kelebihan untuk memikat hati pelanggan dan juga pengedar.
“Ketika itu, saya terpaksa berguru dan belajar semula untuk meningkatkan ilmu dalam perniagaan online serta perkara lain yang berkaitan dengan pemasaran di platform media sosial,” jelasnya.
Usahawan ini gigih berusaha membangunkan Devisa Empire dan kini ia memiliki sembilan jenis produk yang mana tiga daripadanya begitu popular di pasaran iaitu Jamu Moden Sensation, Jus Delima Innocent dan juga Jus Divas Detox.
Barangan dijual pada harga RM69 hingga RM90 seunit dan kesemuanya dijual oleh lebih 500 pengedar di seluruh negara.
Ditanya mengenai perancangan syarikat pada tahun 2022, Saebah menjelaskan, program jelajah ke negeri-negeri sedang diatur untuk meningkatkan hubungan silaturahim antara ibu pejabat dengan pengedar serta ejennya.
Memfokuskan Johor sebagai negeri kelahirannya terlebih dahulu, kemudian ia diikuti dengan destinasi di Utara yang bermula di Langkawi pada bulan ini.
“Melalui program jelajah dan promosi produk serta menambah bilangan pengedar kepada hampir 5,000 orang pada tahun depan, syarikat mengunjurkan jualan mencecah dua hingga tiga kali ganda tahun akan datang,” ujarnya.
Beliau juga mahu memberi tumpuan untuk membantu golongan wanita yang mahu berniaga dan menambah pendapatan diri sendiri selain membantu keluarga meningkatkan taraf hidup dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.
Menurut beliau, melalui pelan perniagaan, selain bimbingan dan latihan kepada mereka, wanita yang gigih berusaha mampu menjana pendapatan daripada serendah RM500 sebulan sehingga kepada RM5,000 sebulan.