fbpx

Pekebun parah ditikam buruh kasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa mendapat rawatan kecemasan selepas pergaduhan sebelum dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut petang semalam.

Oleh TOREK SULONG

MACHANG – Seorang pekebun parah ditikam seorang buruh kasar selepas berlaku pertengkaran antara mereka di luar kawasan sebuah rumah di Kampung Felcra Berangan Mek Nab di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kejadian pada pukul 6 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaaan pada bahagian leher, bahu sebelah kiri dan lengan kirinya.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa telah datang ke rumah tersebut sebelum berlaku perbalahan mulut antara lelaki itu dengan ibu suspek.

“Mangsa juga datang ke rumah suspek dengan membawa sebilah pisau dan sebatang kayu.

“Bagaimanapun, suspek bertindak datang secara tiba-tiba dari arah belakang rumah sebelum menerkam mangsa sehingga berlaku pergaduhan antara mereka di kawasan luar pagar rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini pagi ini.

Menurut Ganti, susulan pergaduhan itu, mangsa telah mengalami kecederaan pada leher, bahu dan lengan dipercayai akibat ditikam pisau, manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan juga mendapati, punca pergaduhan itu disebabkan rasa tidak puas hati antara kedua pihak yang dikatakan pernah bertelingkah sebelum ini.

Tambahnya, suspek yang berusia 35 tahun telah berjaya ditahan dan direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melulu dan mengikut perasaan marah kerana ia akan memudaratkan diri sendiri.

“Undang-undang telah diwujudkan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman. Jangan bertindak sendiri sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian di luar jangkaan,” katanya.

Tambah Ganti, polis tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba mengganggu gugat ketenteraman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata tajam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI