fbpx

Kentucky bagai dilanda garuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH rumah rosak teruk dibadai ribut puting beliung di Mayfield, kelmarin. - AFP

FRANKFORT, KENTUCKY – Serpihan runtuhan bangunan yang musnah, kenderaan-kenderaan terbalik dan pokok-pokok tercabut dari tanah menjadi pemandangan luar biasa di Mayfield, Kentucky, semalam, selepas angin puting beliung membadai bandar tersebut sehingga menjadikannya kelihatan seperti baru lepas dilanda garuda.

Di salah satu jalan utamanya, Broadway, bangunan-bangunan berwarna merah yang dahulunya menjadi kebanggaan penduduk setempat turut musnah dipukul ribut.

Kompleks mahkamah bandar itu pula kehilangan sebahagian daripada bumbungnya selain menara dan jam turut ‘lesap’.

Bagi salah seorang penduduk, Mitchell Fowler, restoran yang menjadi perniagaan keluarganya secara turun-temurun musnah sekelip mata selepas dihancurkan ribut puting beliung.

Tingkap restoran pecah, bahagian dapur musnah dan bumbung tercabut selain sebuah bahagian dinding luar restoran itu turut runtuh.

Menurut Fowler, selepas menerima amaran puting beliung daripada pihak berkuasa Jumaat lepas, dia terus menutup kedainya kira-kira pukul 8 malam dan mengarahkan para pekerja untuk pulang ke rumah.

“Sebelum saya sempat pulang ke rumah, semuanya telah musnah. 

“Ini adalah restoran saya, restoran keluarga kami yang telah beroperasi selama 38 tahun. 

“Saya membesarkan keluarga di sini, anak-anak juga bekerja di sini. Ia amat menyedihkan,” katanya.

Fowler merupakan salah seorang daripada mangsa bencana ribut puting beliung yang membadai enam negeri di Amerika Syarikat (AS) dalam hanya satu malam sehingga mengorbankan lebih 80 penduduk serta berpuluh-puluh lagi masih hilang.

Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu daripada ribut terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah AS.

“Ia adalah satu tragedi. Kami masih tidak dapat memastikan berapa banyak nyawa yang telah melayang dan jumlah kerosakan keseluruhan,” kata Biden.

Ketika suhu malam semakin sejuk kelmarin, aktiviti mencari dan menyelamat tetap diteruskan dengan para petugas cuba menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap di bawah sisa runtuhan kediaman dan perniagaan, dengan harapan lebih ramai mangsa terselamat dapat ditemui.

Menurut laporan, lebih 70 individu dipercayai terbunuh di negeri Kentucky sahaja, dengan kebanyakan daripada mereka merupakan pekerja di sebuah kilang lilin, manakala sekurang-kurangnya enam maut di sebuah kemudahan gudang Amazon di Illinois ketika sedang bertugas pada syif malam.

“Insiden ini amat teruk dan menyedihkan bagi sejarah puting beliung di Kentucky. Kami bimbang kerana dianggarkan lebih 100 individu dikhuatiri terkorban dalam kejadian ini,” kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear yang turut mengumumkan perintah darurat di negeri itu.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 13 lagi individu dilaporkan terbunuh di negeri-negeri lain yang turut terjejas akibat ribut puting beliung, menjadikan angka korban keseluruhan seramai lebih 83 orang.

Di Arkansas, sekurang-kurangnya seorang penduduk maut apabila puting beliung merosakkan sebuah rumah penjagaan di Monette, kata pihak berkuasa daerah.

Di Tennessee pula, empat penduduk dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang lagi terkorban di Missouri. Puting beliung tersebut turut membadai Mississippi namun tiada sebarang angka kematian dikeluarkan. 

Puting beliung yang memusnahkan bandar Mayfield di Kentucky membadai di sepanjang 320 kilometer (km) negeri itu sahaja, dan 365 km secara keseluruhan.

Sebelum ini, kejadian puting beliung paling lama di kawasan darat pernah direkodkan di AS adalah ribut sejauh 352 km di Missouri pada 1925 yang telah meragut 695 nyawa. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI