fbpx

BKM: RM600 juta khas pembangunan masyarakat India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-75 di MITEC, hari ini. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM600 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf hidup serta pembangunan masyarakat India di negara ini sebagai inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menjelang tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM600 juta dalam bentuk bantuan tunai serta program pembangunan terhadap golongan B40 dalam kalangan masyarakat India pada tahun depan.

“Kerajaan telah menyediakan bantuan tunai terhadap 8.4 juta golongan B40 yang terdiri daripada kaum India serta Geran Khas Prihatin (GKP) kepada satu juta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak daripada kaum itu.

“Selain itu, RM100 juta turut diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi tujuan melaksanakan program bantuan kewangan pengajian, program pembangunan kapasiti keusahawanan dan juga bantuan kebajikan bagi masyarakat India tidak berkemampuan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-75, di sini hari ini.

Tambah beliau, RM25 juta telah disediakan untuk kemudahan usahawan mikro kaum itu dan jumlah yang sama turut diperuntukkan bagi menjalankan latihan kemahiran untuk golongan remaja India B40.

“Sementara itu, masyarakat India akan menikmati pembiayaan pinjaman mudah sehingga RM100 ribu pada kadar faedah serendah 4 peratus setahun melalui TEKUN Nasional melalui Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India.

“HRD Corp juga akan mengkhususkan sehingga RM25 juta untuk latihan kemahiran dalam kalangan belia India B40,” ujarnya.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan turut mengeluarkan peruntukan sebanyak RM35 juta khas untuk penyelenggaraan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri, satu pelan tindakan untuk masyarakat India telah dibentuk dan bakal dilancarkan menerusi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama badan-badan lain.

“Satu pelan tindakan dikenali sebagai Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) merangkumi pelbagai sasaran jangka masa pendek dan panjang, sudah dibentuk seterusnya akan dilancarkan dalam jangka masa terdekat bersama agensi peneraju dan pelaksana.

“Berpandukan PTMI, kerajaan akan memastikan bahawa taraf hidup masyarakat India terus diperbaiki serta penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022,” katanya.

Terdahulu, kerajaan membentangkan usul RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia-Makmur, Inklusif, Mampan’. Tiga nilai itu menjadi asas utama dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program dan projek pelbagai kementerian dan badan agensi lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI