MELAKA – Seorang ibu tunggal cekal menjaga anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) yang terlantar sejak 36 tahun lalu.
Fatimah Abdul Rahman, 69, berkata, sepanjang tempoh lebih tiga dekad itu, dia melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyara kehidupan mereka anak beranak termasuk menjadikan pekarangan rumahnya sebagai tempat letak kenderaan.
Menurut warga emas itu, buat masa ini, hanya itu yang boleh dilakukan kerana anak istimewanya, Eizelan Alimin, 36, yang terlantar sejak lahir memerlukan penjagaan rapi.
“Saya tidak boleh keluar bekerja dan meninggalkan anak, jadi pilihan yang ada adalah menjana pendapatan dari rumah.
“Eizelan hanya mahu menelan makanan yang telah dikunyah terlebih dahulu menyebabkan orang lain termasuk menantu sukar untuk menjaganya sekiranya saya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tengkera di sini baru-baru ini.
Menurut Fatimah, dia bernasib baik kerana menerima bantuan lampin pakai buang dan wang bulanan sebanyak RM900 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekali gus dapat membantu meringankan perbelanjaan mereka.
“Selain bantuan JKM, saya mencari pendapatan sampingan dengan menjadikan kawasan laman rumah sebagai ruang parkir. Saya tidak menetapkan kadar, mereka boleh membayar ikut seikhlas hati,” katanya.
Jelas wanita itu lagi, kedudukan rumahnya yang terletak berhampiran sebuah kedai mi goreng popular di Tengkera digunakan sebaiknya untuk menambah pendapatan.
Selain itu, Fatimah berkata, anak bongsunya, Izzery, 30, terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana perlu menjaga abangnya memandangkan dia sudah tidak mempunyai kudrat untuk mengangkat Eizelan ke bilik air untuk dimandikan dan menukarkan lampin.
“Anak-anak lain juga membantu, namun mengikut kemampuan kerana mereka sudah berkeluarga. Anak sulung juga tidak sihat kerana menghidap masalah buah pinggang,” katanya.
Tambah Fatimah, dia tidak pernah lelah menguruskan anak syurga itu, namun yang dibimbangkan adalah nasib Eizelan sekiranya dia ‘pergi’ terlebih dahulu.
“Biarlah Allah tarik nyawa dia (Eizelan) dahulu, bukan sebab tidak sayangkan anak tetapi kerana terlalu sayang dan bimbang keadaannya jika saya pergi. Siapa yang hendak menguyah makanan untuknya?” katanya sebak.
Sementara itu, wakil Usahawan Belia Melaka, Ashwad Abd. Rahim, 29, turut tampil menghulurkan pelbagai barangan asas kepada keluarga Fatimah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Fatimah boleh berbuat demikian melalui akaun Bank CIMB bernombor 7026718150 atas nama Izzery Alimin. -K! ONLINE