BAGAN SERAI – Seorang anggota tentera dan isteri maut manakala dua orang anak mereka menjadi yatim piatu setelah kereta jenis Mazda RX8 yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di kilometer (km) 181 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bagan Serai petang tadi.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu, Mohammad Anas Awang, 32, dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, seorang suri rumah.
Dua anak mereka dikenali Muhammad Afiq, 8, dan Siti Nur Alya Adriana, 6, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian pada pukul 3.30 petang itu berlaku semasa keluarga berkenaan dari arah Pulau Pinang menghala ke Changkat Jering, Taiping dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian lalu terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun.
“Impak perlanggaran menyebabkan Mohammad Anas tercampak ke atas jalan raya manakala isterinya meninggal dunia di dalam kereta. Dua anak mereka serta pemandu dan penumpang Perodua Kancil tidak mengalami kecederaan,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Mayat pasangan suami isteri ini telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE