MELAKA – Tindakan seorang lelaki dan wanita membawa pedang, parang serta keris ke Pulau Besar di sini semata-mata untuk membuat kandungan TikTok mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.
Suspek berusia 45 dan 41 itu diberkas pukul 11 pagi dalam operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya menahan lima individu yang berkumpul di pulau tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kumpulan itu menemui sebilah pedang, dua bilah parang serta lima bilah keris. Lelaki dari Kelantan dan wanita Sabah itu mengaku memiliki senjata tersebut.
“Tiga individu lain bagaimanapun dilepaskan selepas selesai memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua individu itu mendakwa membawa kesemua senjata tajam ke pulau tersebut untuk rakaman video bagi kandungan TikTok.
“Mereka mengikuti kelas silat dan suspek wanita baru sahaja mendapat sijil sebagai peserta, manakala lelaki itu merupakan seniornya,” ujarnya. -K! ONLINE