SHAH ALAM – Gadis orang kelainan upaya (OKU) yang tular dilaporkan hilang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin ditemui di Stesen KL Sentral pagi tadi.
Johani Borhanudin, 26, merupakan pemegang kad OKU mental merupakan pesakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau lupus ditemui kira-kira pukul 11.05 pagi.
Jarak antara dua lokasi hilang dan ditemui adalah kira-kira 5.5 kilometer.
Kakaknya, Roslidiwati Borhanudin, 33, berkata, mereka mendapat panggilan daripada seorang kakitangan Stesen Sentral Kuala Lumpur yang memaklumkan Johani atau Ani yang sedang merayau seorang diri di kawasan terbabit.
Katanya, kepastian mengenai keberadaan adiknya diakui menerusi gambar yang diberikan sebelum mereka sekeluarga datang segera ke lokasi tersebut.
“Sewaktu ditemui didapati Ani masih memakai pakaian yang sama ketika hari dia hilang namun berada dalam keadaan letih dan matanya juga sayu.
“Turut didapati kakinya bengkak kerana terlalu lama berjalan namun bersyukur kerana dia selamat dan sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dalam misi mencari Ani,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE