fbpx

Ismail Sabri nafi tidak mahu bubar Parlimen kerana jawatan PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak harus dilakukan tergesa-gesa kerana ia perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk persediaan parti dan juga situasi semasa negara.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, walaupun PRU-15 tidak dilakukan dalam masa terdekat ia bukan bermaksud kerana beliau ‘selesa’ dengan jawatan Perdana Menteri sebaliknya bagi memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

“Bukan kerana saya hendak duduk di sini (Perdana Menteri) tidak payah pilihan raya (dalam masa terdekat) tetapi saya melihat kepada tugas menjaga kepentingan rakyat termasuk masyarakat luar bandar, sebab itu saya kata sabar dulu.

“Selain itu kita perlu menang (PRU-15) dan kalau syarat menang perlu bersedia kita perlu bersedia segala-galanya,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini tidak boleh dijadikan sebagai tanda aras bagi kemenangan BN di seluruh negara dalam PRU-15.

Katanya ini kerana undi popular BN dalam PRN berkenaan hanya meningkat 0.88 peratus dan hanya kira-kira 65 peratus keluar mengundi serta ramai penyokong parti lain tidak keluar pada hari mengundi.

“Saya kata PRN Melaka tidak boleh menjadi model (PRU-15), kita jaga kita, orang Bera jaga di Bera, orang negeri Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu dan seluruh Malaysia memang tidak akan turun ke tempat lain (masa PRU-15).

“Jadi bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengatakan kerana Melaka itu menang maka seluruh Malaysia kita akan menang,”katanya.

Dalam pada itu katanya, tindakan pihak tertentu yang ‘takut’ kepada orang muda dengan mencadangkan supaya parlimen dibubarkan sebelum 31 Disember ini sebelum pengundi automatik 18 tahun dibenarkan Januari depan amat tidak wajar.

Katanya, niat jahat menyekat pengundi muda itu akan memabwa padah kerana ia seolah-olah tidak yakin dengan kemamppuan golongan generasi muda memilih pemimpin negara. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI