fbpx

Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands masih ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands ditutup kerana kejadian kegagalan cerun masih berlaku akibat hujan lebat yang berterusan.

IPOH – Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands di sini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2 Disember lalu menyebabkan dua kenderaan tertimbus.

Ini kerana pemeriksaan semasa yang dijalankan mendapati kejadian kegagalan cerun masih berlaku akibat hujan lebat yang berterusan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan pakar juga mendapati jalan tersebut masih belum selamat untuk dilalui.

“Merujuk kepada pemeriksaan oleh Cawangan Pakar JKR, keadaan cerun masih belum selamat untuk dilalui oleh kenderaan sehingga kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah dijalankan sepenuhnya.

“Notis penutupan ini disambung bermula 10 Disember sehingga pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna jalanraya diingatkan untuk mematuhi arahan papan tanda keselamatan di tapak selain disaran merancang waktu perjalanan.

Laluan berkenaan ditutup sebelum ini sejak insiden tanah runtuh tersebut di Kilometer 27.10 sepanjang 100 meter.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.44 petang itu, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dan lori ikan tertimbus melibatkan pemandu kedua-dua kenderaan meninggal dunia. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI