KAMPAR – Polis Perak merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM3.5 juta hasil pembayaran saman pesalah trafik dalam tempoh sembilan hari bermula 1 Disember lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, kutipan sebanyak RM1.89 juta diperolehi melalui kempen 50 peratus diskaun yang dilaksanakan Kontinjen Perak.
Katanya, bagi tawaran diskaun 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) selama empat hari bermula kelmarin, jumlah yang berjaya dikutip sebanyak RM1.62 juta.
“Polis Perak telah mengadakan kempen diskaun 50 peratus bermula 1 Disember lalu di mana ia akan dilaksanakan selama sebulan.
“Baru-baru ini, kerajaan juga telah bermurah hati apabila mengumumkan diskaun lebih tinggi iaitu 80 peratus kepada pesalah trafik dengan tempoh pembayaran empat hari sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar semalam.
Menurut beliau, orang ramai disaran mengambil peluang tawaran diskaun itu bagi menyelesaikan saman tertunggak kecuali bagi beberapa jenis kesalahan yang dikecualikan pengurangan. – K! ONLINE.