KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyerahkan surat tawaran kemasukan universiti dan politeknik serta biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada para pelajar di bawah program ‘Jom Masuk IPT’.
Penyerahan kepada 12 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu adalah sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Majlis penyerahan itu turut diiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Antara surat tawaran yang disampaikan oleh Perdana Menteri ialah kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik serta kolej komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyampaikan sijil APEL A oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan juga surat tawaran biasiswa daripada Universiti MAHSA.
Sementara itu, bagi seorang penerima biasiswa daripada Universiti MAHSA, Nurul Balqis Shahizan, 21, dia mendedikasikan biasasiswa yang diterima kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada 29 September lalu.
“Saya tak sangka dapat biasiswa ini dan paling terharu, PM (Perdana Menteri) sendiri yang menyampaikannya. Terima kasih PM dan KPT kerana memilih saya untuk menerima biasiswa ini.
“Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban keluarga saya kerana saya tidak perlu lagi membayar yuran pengajian kerana sebelum ini arwah (bapa) yang banyak berkorban untuk saya. Ibu saya hanya seorang suri rumah,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Nurul Balqis, dia yang kini berada di semester akhir dalam bidang Pengurusan Perniagaan tidak bercadang untuk melanjutkan pelajaran buat masa ini.
“Fokus saya ketika ini adalah untuk mencari kerja dan membantu ibu bagi menyara tiga adik saya yang masih bersekolah,” kata anak jati dari Chenor, Pahang.
Dalam pada itu, seorang rider, Muhammad Azim Nazran Zahari, 21, pula tidak menyangka impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Telekomunikasi kini dimakbulkan Allah SWT.
Lebih bermakna, kejayaan melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Ampang itu diserahkan oleh Perdana Menteri sendiri.
“Saya bersyukur impian melanjutkan pengajian dimakbulkan dan ini adalah langkah permulaan untuk menambah baik kehidupan keluarga.
“Pendidikan saja yang mampu mengubah nasib saya dan keluarga selain mahu meringankan beban ayah yang bekerja sebagai mekanik untuk menyara kami,” ujarnya. -K! ONLINE