PEMAIN sensasi skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid berharap rakan sepasukannya yang lain tidak mendabik dada sebaliknya perlu terus bekerja keras dalam usaha meloloskan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 kali ini.
Sebagai rekod, Safawi berada dalam kelas tersendiri ketika ini selepas berjaya meledak empat gol dalam kejohanan dwitahunan itu termasuk jaringan hatrik sewaktu menewaskan Laos 4-0 kelmarin.
Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mendahului carta penjaring terbanyak kejohanan mahu momentum sama dikekalkan apabila Malaysia turun menentang Vietnam di Stadium Bishan esok sebelum bertemu Indonesia di Stadium Nasional Singapura, pada 19 Disember.
Kata Safawi, pasukan tidak boleh terlalu selesa kerana ujian sebenar sudah tentu dua aksi terakhir peringkat kumpulan nanti tetapi tahap keyakinan ketika ini sememangnya berada di tahap tertinggi.
“Barisan pemain sudah tetapkan dalam fikiran bahawa kita perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Harus diakui dua kemenangan yang diraih sedikit sebanyak meningkatkan motivasi pemain ketika ini.
“Namun, saya harap pasukan tidak terlalu selesa kerana kita masih ada perlawanan getir yang harus ditempuh dan sudah tentu barisan pemain perlu meningkatkan prestasi,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.