fbpx

USIM komited tangani isu kekeluargaan masyarakat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli ketika menyampaikan tazkirah di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, hari ini. /FOTO ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu agensi-agensi berkaitan bagi menangani secara proaktif isu-isu kekeluargaan di negara ini khususnya berkaitan perceraian.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu susulan pihaknya mendapati isu perceraian yang berlaku dalam masyarakat Islam di negara ini agak membimbangkan.

“Berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh, mendapati satu kes penceraian berlaku dalam tempoh 15 minit atau sekitar lima pasangan bagi setiap satu jam.

“Keadaan ini sememangnya membimbangkan dan ia lebih serius ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

“USIM akan cuba membantu menangani masalah ini dengan tenaga pakar yang ada, melalui program-program bimbingan dan nasihat berkaitan kepentingan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan khutbah solat Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, selepas dilantik sebagai Pengerusi LPU USIM sejak 1 Disember lalu, beliau berhasrat menjadikan USIM sebagai universiti tersohor di dunia terutama dalam menjadikan ia sebagai hab pendidikan Islam.

“Saya mahu melihat kekuatan universiti ini lebih mendalam lagi melalui beberapa perkara. Selepas ini juga saya akan bertemu segenap lapisan warga USIM dan mencari kaedah selesaikan masalah kadar segera yang berkait dengan USIM.

“Saya juga mahu melihat USIM menjadi senarai universiti tersohor di dunia melalui kekuatan universiti ini dari segi agama dan hab pendidikan Islam dengan pensyarah yang berwibawa,” katanya lagi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI