fbpx

Rumah tidak siap, duit pula melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI menunjukkan ruang balkoni rumahnya di sebuah taman perumahan di Tapah yang gagal disiapkan kontraktor sejak tahun lalu.

Oleh LIYANA RAMLI

TAPAH – Hasrat seorang ibu tunggal untuk mengubah suai ruang balkoni di rumah dua tingkatnya di sebuah taman perumahan di sini hancur apabila kontraktor yang diupah menghilangkan diri selepas menerima bayaran penuh kos ubah suai hampir RM20,000.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti, 50, memberitahu, kontraktor berkenaan menghilangkan diri sejak penghujung tahun lalu dan hanya sempat menyiapkan kira-kira 30 peratus kerja-kerja pengubahsuaian.

Katanya, kontraktor ber­kenaan memulakan kerja-kerja ubah suai ruang balkoni rumah awal tahun lalu sebelum terhenti disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas kebenaran untuk kontraktor menjalankan kerja-kerja luar, saya terus membuat bayaran penuh kira-kira RM20,000 untuk membesarkan balkoni bagi dijadikan ruang santai keluarga.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila kontraktor berkenaan tidak datang sehingga ke hari ini. Sudah setahun berjanji mahu melunaskan kerja-kerja yang ditinggal, namun hanya tinggal janji,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Siti memberitahu, dia turut kecewa dengan kualiti kerja kontraktor berkenaan yang disifatkan sambil lewa.

Jelasnya, dia masih menuntut janji kontraktor tersebut yang mahu melunaskan kerja-kerja dan sekiranya gagal, laporan polis akan dibuat atas kerugian yang ditanggung.

“Saya menuntut mereka menyelesaikan kerja-kerja ubah suai atau pulangkan wang yang telah dibayar,” jelasnya.

Siti berkata, selepas ini dia akan lebih berhati-hati untuk memilih kontraktor jika mahu membuat pengubahsuaian di rumahnya.

“Sebelum ini, mereka (kontraktor) memberi alasan, bayaran tidak setimpal dan perlu mengambil masa yang lama untuk menghabiskan kerja mereka.

“Rupa-rupanya mereka mengambil beberapa projek dalam masa yang sama sehingga terpaksa menangguhkan kerja mereka kerana tidak berupaya melakukan mengikut jadual.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan belajar dari kesilapan supaya tidak mudah percaya dengan janji-janji kontraktor yang tidak bertanggungjawab,” jelas­nya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI