AMSTERDAM – Legenda Tottenham Hotspur, Rafael Van Der Vaart percaya pemain tengah Ajax, Donny Van De Beek berhak untuk berhijrah ke Manchester United.
Difahamkan, Van De Beek semakin hampir menyarung jersi United selepas kedua-dua pasukan sudah mencapai kata sepakat, selain dia diketepikan daripada aksi persahabatan menentang Eintracht Frankfurt Sabtu lalu.
Meskipun duo gergasi La Liga, Barcelona dan Real Madrid turut menyatakan minat mendapatkan Van De Beek, namun United dikatakan menjadi destinasi pilihan selepas hampir memeterai perjanjian £40 juta (RM222 juta).
“Donny berhak untuk berpindah kerana dia sudah menampilkan aksi yang cukup baik bersama Ajax selama ini. United amat memerlukan pemain sepertinya dalam pasukan bagi memastikan pasukan itu mampu memburu kejuaraan.
“Saya fikir perpindahan dia ke United sesuatu yang sangat menakjubkan. Kami memang mengikuti perkembangannya, jadi dia memang layak untuk ke United,” kata Van Der Vaart.
Van De Beek yang merupakan produk akademi Ajax dianggap sebagai tulang belakang pasukan ketika membawa pasukan itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2018/19.
Dia juga menampilkan aksi memberangsangkan musim ini apabila menjaringkan lapan gol serta melakukan lima umpanan dalam saingan Liga Belanda.
–AGENSI