ABU DHABI – Pelumba utama Red Bull, Max Verstappen mengakui, dia mendapat layanan buruk dan berat sebelah daripada Formula Satu (F1) berbanding pemandu-pemandu lain.
Pelumba kelahiran Belanda itu kecewa selepas menerima dua hukuman pada perlumbaan GP Arab Saudi minggu lepas melibatkan penalti lima saat selepas berlanggar dengan Hamilton sebelum dia menerima penalti 10 saat lagi selepas itu.
Verstappen berkata, terdapat banyak peraturan dalam perlumbaan F1 tetapi hanya dirinya dikenakan hukuman berbanding pemandu-pemandu lain yang bebas daripada didenda meskipun turut melakukan kesalahan sama.
“Saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga sering dikenakan denda atas kesalahan kod etika pemanduan yang saya anggap berat sebelah.
“Pemandu-pemandu lain juga melakukan kesalahan yang sama tetapi nama mereka tidak disebut sebagai pelumba berbahaya atau dikenakan sebarang penalti.
“Jadi, saya tidak faham kenapa hanya saya dilabelkan sebagai pemandu yang berlumba secara berbahaya?
“Saya harap situasi tersebut tidak menjejaskan fokus saya menjelang perlumbaan terakhir di Litar Yas Marina nanti,” katanya.
Verstappen menegaskan, perkara itu sama sekali tidak akan mengubah cara pemanduannya menjelang perlumbaan getir merebut kejuaraan dunia F1 pada Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina malam esok.
Sebagai rekod, Verstappen sedang bersaing dengan jaguh Mercedes, Lewis Hamilton untuk memburu gelaran dunia pertama apabila berkongsi kedudukan tangga teratas menerusi jumlah pungutan 369.5 mata sama selepas 22 perlumbaan. – AGENSI