LONDON – Pengurus West Ham United, David Moyes sudah tidak sabar untuk bertemu kelab-kelab ternama Eropah seperti gergasi Sepanyol, Barcelona atau jaguh Jerman, Borussia Dortmund pada peringkat kalah mati Liga Europa musim ini.
Keyakinan itu hadir selepas West Ham berjaya mencipta kejutan mara ke pusingan 32 terbaik sebagai juara peringkat Kumpulan H dengan merekodkan empat kemenangan, empat seri dan satu kekalahan.
“Saya memang tertunggu-tunggu aksi seperti ini dan semua pemain juga tidak sabar. Ramai yang tidak sangka kami mampu lepasi saingan peringkat kumpulan tetapi kami berjaya layak sebagai juara,” katanya.
Dalam masa sama, Moyes turut melaungkan amaran kepada setiap pencabarnya apabila menganggap skuad kendaliannya adalah pasukan paling hebat dalam saingan Liga Europa musim ini.
The Hammers tewas 0-1 kepada Dinamo Zagreb pada pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium London awal pagi semalam, namun ia langsung tidak merisaukan Moyes kerana mereka sudah layak lebih awal ke pusingan kalah mati.
West Ham yang turun dengan barisan muda akur dengan kekalahan tersebut selepas penyerang pasukan pelawat, Mislav Orsic menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan yang cukup menarik.
“Saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan setiap pemain muda dalam perlawanan malam ini (awal pagi semalam) walaupun kami gagal untuk mendapatkan sesuatu. Apa yang penting adalah semangat yang ditunjukkan oleh mereka.
“Pada ketika ini, saya anggap West Ham adalah pasukan paling kuat dan semua lawan mungkin bimbang untuk bertemu kami selepas ini. Sebagai bukti, kami sudah tunjukkan kemampuan ketika bertemu Chelsea dan Manchester City,” katanya. – AGENSI