Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
GUSTI lengan mungkin menjadi ‘lubuk’ pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja sekiranya sukan itu dipertandingkan dalam temasya dwitahunan tersebut.
Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) sedang berusaha keras untuk cuba memastikan sukan berkenaan dipertandingkan apabila badan induk itu kini aktif berbincang dengan wakil di Jawatankuasa Olimpik Kemboja.
Berdasarkan rekod dan sejarah penyertaan di pertandingan antarabangsa, Malaysia muncul antara kuasa besar dalam sukan itu bersama Filipina, Thailand serta Singapura.
Presiden MyArms, Mohd. Zil Fadli Abd Halim melaungkan keyakinan memandangkan pihaknya mempunyai jalinan kerjasama yang cukup erat dengan Persekutuan Gusti Lengan Kemboja.
“Kita bantu mereka tubuhkan Persekutuan Gusti Lengan Kemboja. Malah, kita juga berikan sokongan kepada mereka untuk sertai badan induk antarabangsa.
“Presiden mereka juga adalah antara ‘orang kuat’ dalam Jawatankuasa Olimpik Kemboja. Perbincangan seterusnya akan dibuat lagi selepas ini dan mungkin diadakan tahun depan,” katanya.
Dalam masa sama, Zil Fadli menjelaskan, MyArms turut menggerakkan usaha untuk melihat sukan gusti lengan dapat dipertandingkan di peringkat Sukan Malaysia (Sukma).
“Kita sudah berbincang dengan Presiden MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengenai kaedah untuk memasukkan acara gusti lengan di Sukma. Namun, kita perlu pastikan persatuan negeri stabil terlebih dahulu,” jelasnya.