fbpx

Cubaan dua nelayan seludup 40 kg syabu gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Hizam (tengah) menunjukkan dadah disyaki jenis syabu yang dirampas pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Cubaan dua nelayan menyeludup keluar dadah dipercayai jenis syabu seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM1.99 juta gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, suspek masing-masing berusia 45 dan 48 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan membawa bekalan dadah menaiki bot bagi tujuan memindahkan bungkusan berkenaan ke dalam bot nelayan yang lain.

Menurutnya, pada pukul 7 malam semalam, pasukan operasi darat telah mengesan sebuah bot Kelas A mencurigakan sedang menyelusuri masuk ke Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar sebelum pasukan serbuan diatur gerak ke lokasi dan menahan bot berkenaan bersama dua suspek warga tempatan.

Guni putih yang disyaki mengandungi syabu disembunyikan di bawah alat kemudi bot.

“Penggeledahan ke atas bot telah menemui satu karung guni putih mencurigakan yang disembunyikan di bawah alat kemudi bot.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan sejumlah 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kg bagi setiap bungkusan.

“Kedua-dua suspek mengakui dadah tersebut dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.

Menurut Nurul Hizam, selain dadah, pihaknya turut merampas sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama satu unit enjin kuasa kuda, sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,706 dengan anggaran keseluruhan bernilai RM2.03juta.

Katanya, kedua-dua suspek kini diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI