DUA tahun menyulam cinta, bukan sedikit dugaan percintaan antara Kamal Adli dan Uqasha Senrose. Diam-diam bercinta dari lokasi Setelah Terlafaznya Akad, diam-diam juga pasangan sejoli itu menyimpan privasi hari bahagia mereka saat diijab kabul sebagai suami isteri pada 5 November lalu.
Bahkan sampai minit terakhir sebelum terluahnya pengakuan dari bibir mereka, rata-rata masih belum dapat menebak bahawa pasangan yang mula mencanang perancangan kahwin mereka sejak Jun lalu sudah sah berstatus suami isteri.
Beberapa kali menangguhkan majlis yang diimpikan, akhirnya, dengan dua kali lafaz, aktres jelita itu menjadi milik Kamal pada 5 November lalu berlokasikan sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Biarpun pelbagai spekulasi mengenai hari bahagia mereka bertebaran, kedua-duanya tetap mengunci mulut hinggalah pendedahan dibuat menerusi majlis pengumuman kelolaan Astro pada Selasa lalu selaku penyiar yang mendapat hak eksklusif acara pernikahan dan resepsi.
Sebulan menyimpan kemas peralihan status mengejutkan ramai, namun hanya tuan empunya badan sahaja yang punya alasan betapa penting menjaga kerahsiaan privasi pernikahan mereka sehingga tiba saat dikongsikan kepada umum
Berlangsung secara tertutup dengan dihadiri kira-kira 100 tetamu, penyatuan cinta lokasi Kamal dan Uqasha direalisasikan mengikut tema perkahwinan dalam taman seperti impian mempelai. Inilah yang boleh dikatakan, jodoh aturan Tuhan yang sengaja dirahsiakan seketika demi kemanusiaan.
Umrah bersama suami
Bermula dengan debaran, teruja dan serba canggung, majlis pendedahan hari bersejarah Kamal dan Uqasha pada Selasa lalu turut bersulam syahdu.
Rasa sebak tiba menguasai emosi Uqasha sehingga menitiskan air mata. Dalam suara yang tersekat-sekat, pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu meluahkan keinginannya mahu mengerjakan umrah bersama suami tercinta sebelum memikirkan destinasi lain untuk berbulan madu.
Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu berkata, perancangan ke Tanah Suci antara agenda pertama yang difikirkan. Dia mahu menjadi insan pertama mengiringi Kamal menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Mekah.
“Kali pertama saya ke Tanah Suci adalah semasa penggambaran Setelah Terlafaznya Akad. Masa itu tak kenal pun Kamal secara peribadi. Di sana, saya minta doa drama tersebut menjadi satu fenomena.
“Semasa penggambaran diMalaysia, kami berkampung di Melaka selama lima bulan dan mula berkenalan. Dalam banyak-banyak doa yang saya pohon, Allah makbulkan drama itu meletup.
“Kali kedua, saya ke Mekah dengan keluarga. Kami pula dalam fasa mengenali hati budi. Di depan Kaabah, saya berdoa, sekiranya Ahmad Kamal Ahmad Adli adalah jodohku, Kau panjangkanlah jodoh kami. Jika tidak, Kau pisahkan dengan baik.”
“Alhamdulillah, jodoh kami hingga ke jenjang pelamin. Sebab itu saya nekad tunaikan umrah terlebih dahulu kerana sudah pasang niat untuk kembali semula. Ini juga tanda kesyukuran,” katanya.
Pada majlis sama, pasangan itu memaklumkan pernikahan disempurnakan bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin bersama jurunikah Tuan Izzuddin Abdul Mutalib tepat pukul 9.39 pagi.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50 berserta tujuh dulang hantaran, berbalas sembilan dulang termasuk beg tangan, kasut, minyak wangi, cincin dan sejadah daripada pengantin perempuan.
Pasangan mempelai memilih persalinan rona putih sentuhan pereka Shanell Harun disusuli busana tradisional daripada songket ungu rekaan Rizman Ruzaini untuk acara memotong kek.
Busana songket tersebut diinspirasikan daripada pemerintah Kelantan suatu ketika dahulu, Che Siti Wan Kembang yang dikatakan perekanya sesuai dengan negeri kelahiran si pengantin perempuan.
Akui jelitawan berusia 29 tahun itu juga, dia langsung tidak menjangka doanya dimakbulkan memandangkan dirinya tidak sempurna.
Perjalanan baharu
Bagi Kamal pula, dia tidak sabar untuk mengerjakan umrah buat kali pertama yang dijadualkan pada 23 Disember depan apatah lagi dirasakan lebih bermakna apabila ditemani insan tercinta.
“Alhamdulillah. Pemergian ke Tanah Suci nanti juga umpama permulaan kehidupan baharu kami sebagai suami isteri.
“Saya mahu mengerjakan umrah dengan membawa senarai doa yang banyak.
“Saya percaya ini semua aturan terbaik Allah berikan untuk kami. Saya nak berterima kasih kepada isteri sebab jodoh kami juga atas doa isteri,” luah Kamal yang hanya bercuti selama empat hari bagi menyelesaikan urusan pernikahannya bulan lalu.
Pasangan yang memasang impian untuk menimang empat cahaya mata itu turut mendedahkan perancangan mengadakan tiga majlis resepsi yang terpaksa dianjakkan ke awal tahun depan.
Masih merancang untuk mengadakan resepsi di kawasan tanah tinggi, bagaimanapun semuanya bergantung kepada jadual kerja padat yang menanti.
“Sebenarnya jadual kerja kami sudah penuh sehingga Julai tahun depan. Jadi semua perancangan kena atur dengan teliti supaya tidak bertembung. Macam majlis ini, selain terikat dengan Astro selaku penyiar eksklusif, kami juga mahu menjaga hati keluarga.
“Bilangan tetamu yang dihadkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selain penukaran lokasi pernikahan berikutan tempat asal sudah diberikan kepada pihak lain membuatkan kami teruskan saja tarikh 5 November.
“Tiada istimewa pun tarikh berkenaan kerana ikutkan kami letakkan dua lagi tarikh lain memandangkan banyak lokasi acara yang sudah banyak ditempah.
“Alhamdulillah, akhirnya perancangan yang tertangguh sejak Jun lalu dapat disempurnakan.
“Apatah lagi sehari selepas akad nikah, kami terus masuk set penggambaran dan hanya berjumpa sekejap-sekejap. Selepas ini akan sibuk pula dengan persiapan majlis persandingan.
“Kami kena buat tiga resepsi, sebab saudara-mara kedua-dua keluarga ramai, begitu juga kenalan. Sudah agak lega sekarang dan syukur segala urusan wajib sudah pun terlaksana,” kata Uqasha lagi.
Simpan rahsia, usikan netizen
Mengakui menyimpan status pernikahan selama sebulan sesuatu yang mendebarkan, namun perjanjian bertulis bersama sekitar 100 jemputan agar tidak membocorkan berita sebelum pengumuman, bukan satu tekanan buat mereka.
Bagi Kamal, sepanjang sebulan ini dia terpaksa menahan diri daripada membalas usikan netizen yang sesekali memetik namanya selepas beberapa artis muda mendirikan rumah tangga.
“Lucu juga bila mengenangkan kami masih mendiamkan diri ketika desas-desus bertebaran selain diusik apabila beberapa artis muda sebelum ini naik pelamin. Rasa nak cakap juga kami sudah selamat bernikah.
“Waktu itu nak masuk hotel berdua pun takut. Tapi tidak mengapalah, paling penting, kami berdiam ada sebab kukuh,” kata Kamal yang kini turut sibuk menguruskan pengubahsuaian kediaman baharu mereka sebagai suami isteri.
Bagi Uqasha pula, dua adiknya, Nelydia dan Raysha Rizrose antara individu kuat di sebalik hari bahagianya.
“Pembabitan ahli keluarga untuk menjaga kerahsiaan majlis ini sangat kami hargai,” kongsi Uqasha.