PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil maklum penularan beberapa klip video memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa orang individu dipercayai merupakan pelajar sekolah asrama dan akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak MARA memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang kini telah menjadi tular di laman media sosial.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pihak MARA tidak akan sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.
“Pihak MARA juga tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” ujar beliau.
Terdahulu, beberapa klip video berdurasi 13 hingga 30 saat yang memaparkan seorang remaja menjadi mangsa buli beberapa orang pelajar lain menjadi tular di laman sosial media sehingga mengundang kecaman orang ramai.
Menerusi video berkenaan, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali pada perut oleh beberapa remaja lain. – K! ONLINE