NEW YORK – Bekas pemain No. 1 dunia, Naomi Osaka mengakui resah selepas tidak begitu cergas untuk mengharungi aksi pembukaan Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan bermula hari ini.
Sebagai rekod, kecergasan pemain berusia 22 tahun itu menjadi persoalan susulan tindakannya menarik diri daripada aksi final Terbuka Cincinnatti kelmarin.
Namun, Osaka yang akan bersaing pada aksi pusingan pertama menentang rakan senegara, Misaki Doi hari ini akan memberikan yang terbaik walaupun kesuntukan masa untuk berehat.
“Saya masih belum mendapat kecergasan sepenuhnya sehingga menyebabkan terpaksa menarik diri pada final Terbuka Cincinnatti.
“Secara jujur, saya berada dalam dilema kerana sudah sampai ke sini untuk mengharungi dua kejohanan besar dan tidak boleh menarik diri pada saat akhir.
“Malah, Terbuka AS pula merupakan satu kejohanan Grand Slam yang sememangnya saya nantikan. Kini saya hanya boleh harapkan yang terbaik pada aksi pusingan pertama dan berusaha untuk tidak tewas,” katanya.
Osaka yang kini menduduki ranking ke-10 dunia merupakan salah seorang nama besar yang mengambil keputusan untuk beraksi pada Terbuka AS selepas beberapa pemain wanita terkemuka seperti Bianca Andreescu dan Ashleigh Bartey menarik diri. – AGENSI