SHAH ALAM – Keterbatasan untuk bergerak sejak kecil bukan batu penghalang kepada Nurul Haifa Aida Nasarudin, 25, yang bergelar graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 secara janji temu hari ini.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, dia disahkan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) sejak berusia empat tahun dan menyebabkan pergerakannya terhad.
“Namun, status sebagai orang kelainan upaya (OKU) bukan halangan kepada saya untuk terus melanjutkan pengajian.
“Biarpun hanya menggunakan skuter kecil untuk bergerak, saya bersyukur usaha dan keperihan itu dibayar dengan segulung ijazah hari ini,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat Pengurusan Rekod itu hari ini.
Nurul Haifa yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.48 adalah antara 895 graduan yang menerima Ijazah dan Diploma masing-masing di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini.
Tambah beliau, golongan OKU termasuk yang menghidap penyakit SMA perlu memiliki keyakinan diri dan tidak lemah semangat. – K! ONLINE