fbpx

Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Aidil (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth di sini hari ini selepas didapati bersalah memindahkan 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohd. Aidil Abdul Halim, 40, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Mohd. Aidil didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di Lebuh Raya Utara Selatan daerah Seberang Perai Selatan di sini kira-kira pukul 10.07 malam pada 29 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri, Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak, manakala tertuduh menjelaskan denda tersebut hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI